fbpx

Tiada apa yang disorok – Hussein

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hussein pada sidang akhbar berhubung perkembangan terkini kebakaran paip gas di Putra Heights, hari ini. -Foto oleh ISKANDAR ISHAK/KOSMO!

SUBANG JAYA – Polis menegaskan tiada sebarang kematian dilaporkan dalam tragedi letupan saluran paip gas di Putra Heights, sekali gus menolak dakwaan tidak berasas yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya bersama agensi-agensi teknikal yang terlibat sentiasa bersikap telus dan terbuka dalam memberi maklumat mengenai perkembangan siasatan kes berkenaan.

“Pihak polis tidak pernah dan tidak akan menyembunyikan sebarang fakta berkaitan insiden ini.

“Tuduhan seperti ‘polis menyorok kematian’ adalah tidak berasas, melampau dan boleh menimbulkan ketakutan serta kegusaran dalam kalangan masyarakat,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan menyeluruh sedang dijalankan dari pelbagai sudut melibatkan faktor mekanikal, alam sekitar, operasi serta aspek keselamatan.

Semua agensi berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Petronas juga membuat dokumentasi dan laporan masing-masing secara individu.

“Saya tegaskan sekali lagi, tiada laporan polis dibuat berhubung dakwaan kononnya berlaku kematian akibat insiden letupan ini. Jika benar ada, tampil dan buat laporan secara rasmi,” tegasnya.

Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi liar yang boleh menjejaskan siasatan dan menimbulkan kekeliruan awam.

“Saya sendiri dan Menteri Besar Selangor sentiasa memberikan maklumat harian kepada media dan rakyat.

“Tiada sebab untuk menyorok apa-apa fakta. Datuk Bandar juga turun ke lapangan menjawab soalan penduduk,” katanya.

Terdahulu, di media sosial ramai yang menimbulkan spekulasi antaranya menyembunyikan fakta serta kematian berkait insiden berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI