fbpx

‘Tak titiskan air mata langsung, kali terakhir hari ke-40 arwah pergi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sharnaaz masih bersedih atas pemergian bapa tersayang, Allahyarham Datuk Bazir Ahmad Nazir Ahmad yang meninggal dunia November tahun lalu.

PUTRAJAYA – “Hari Raya Aidilfitri paling suram.”

Itu dirasai pelakon, Sharnaaz Ahmad apabila terpaksa menyambut Syawal buat kali pertama tanpa kehadiran arwah bapanya, Datuk Bazir Ahmad Nazir Ahmad yang meninggal dunia pada November tahun lalu.

Menyambut lebaran di Pulau Pinang, Sharnaaz, 39, dia tidak merasai langsung keseronokan hari raya pada tahun ini selain mahu semuanya berakhir dengan secepat mungkin.

“Saya memang tak menyambut Aidilfitri tahun ini dan boleh dikatakan raya yang paling tiada ‘rasa’ serta ‘tawar’ dalam hidup.

“Bangun pagi pada satu Syawal lalu pun dalam keadaan diri yang tidak fokus. Hanya bangun untuk tunaikan solat sunat Aidilfitri dan menjamah makanan.

“Kalau boleh, saya nak habiskan sambutan raya 1 Syawal lalu secepat mungkin, tetapi entah kenapa rasa masa berjalan lambat sangat.

“Selepas itu barulah saya berasa lega. Lagipun ini adalah tahun pertama saya menyambut Aidilfitri tanpa arwah ayah,” katanya kepada Kosmo! Online selepas majlis tayangan perdana filem Blood Brothers Bara Naga di sini, semalam.

Meski mengakui pemergian arwah bapa memberi impak besar terhadap kehidupannya, Sharnaaz tidak menitiskan air mata sepanjang Aidilfitri, sebaliknya rasa sedih itu telah dirasai pada hari ke-40 kematian bapanya.

“Saya tidak menitiskan air mata pun pada hari raya lalu.

“Kali terakhir saya menangis pada hari ke-40 bapa saya meninggal dunia. Waktu itu saya memang gagal mengawal diri.

“Walaupun pada hari itu saya cuba untuk tidak terlalu memikirkannya, tapi entah kenapa tiba-tiba seperti ada sesuatu yang mengingatkan dan terus rasa sejuk satu badan sehingga tak boleh nak mengawal emosi.

“Hari ke-40 memang teruk untuk saya,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Sharnaaz turut memakai jam tangan milik arwah bapanya pada hari tayangan semalam sebagai untuk merasakan kehadiran figura itu sentiasa dekat di sisinya.

“Hari ini (semalam) pun saya pakai jam bapa saya.

“Buat kali pertama saya baru buka bungkusan jam ini daripada tisu hospital dan saya percaya dia ada bersama saya hari ini,” ujarnya.

Terdahulu, bapa kesayangan aktor itu menghembuskan nafas terakhirnya di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada usia 78 tahun pada 27 November tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI