KUCHING – Polis berjaya menangkap seorang daripada tiga lelaki yang menyamun sebuah kedai runcit 24 jam di Muara Tebas kira-kira pukul 8.30 malam, 30 Mac lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Merbin Lisa, berkata, suspek berusia 21 tahun itu ditangkap oleh sepasukan polis dari Balai Polis Gita di kawasan Demak Laut kira-kira pukul 4 petang semalam.
“Hasil soal siasat, suspek mengaku terlibat dalam kes samun tersebut. Suspek yang mempunyai lima rekod jenayah lampau itu turut didapati positif dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada masa sama katanya, turut dirampas sebuah motosikal curi digunakan suspek yang dilaporkan hilang di Kota Samarahan selain polis masih memburu dua lagi suspek yang masih bebas.
Terdahulu, Merbin berkata pihaknya menerima laporan mengenai kes berkenaan pada 6 April lalu.
Ketika kejadian katanya, kedai runcit itu yang dijaga seorang wanita berusia 27 tahun telah didatang tiga lelaki bersenjata tajam dan salah seorang daripadanya mengacukan senjata ke arah mangsa dan bertindak mengambil duit di kaunter sebanyak RM2,950. – KOSMO! ONLINE