SEPANG – Pelawak dan pelakon Along Cham menzahirkan rasa syukur masih dikurniakan rezeki dalam bidang pengacaraan meskipun sedang berdepan kes mahkamah melibatkan dakwaan berkaitan dadah.
Along atau Muhammad Nizamuddin Ahmad, 42, berkata, tawaran dalam bidang itu masih ada, namun lakonan pula sedikit perlahan susulan situasi industri filem tempatan yang kurang memberangsangkan.
“Tawaran masih ada, syukur. Dari segi pengacaraan, alhamdulillah masih ada yang percaya saya.
“Kerja tetap saya kena teruskan, cuma bidang lakonan ni tanyalah mana-mana pelakon sekarang, industri tak berapa sihat, kurang dapat sambutan.
“Mungkin ramai lebih selesa tengok filem di rumah berbanding ke panggung, jadi peluang makin kurang,” katanya kepada Kosmo! Online selepas selesai prosiding kesnya di Mahkamah Majistret Sepang, semalam.
Tambah pelakon filem Tiada Tajuk itu, pelanggan korporat yang pernah menggunakan khidmatnya sebelum ini masih kekal memberikan kepercayaan biarpun dirinya kini dikaitkan dengan kontroversi peribadi.
“Setakat ni yang menghakimi saya pun netizen, tapi dari sudut pelanggan-pelanggan saya sebelum ini mereka masih percaya pada bakat dan servis saya.
“Kawan-kawan artis juga ramai yang berikan sokongan moral, mereka tahu saya macam mana dan faham situasi sedang dilalui oleh saya.
“Cuma buat masa ini kena kuat tanggapan orang luar terhadap saya,” ujarnya.
Terdahulu, mahkamah menetapkan 24 April depan sebagai tarikh baharu bagi serahan dokumen oleh pihak pendakwaan memandangkan belum lengkap.
Sebelum ini pada 28 Februari lalu, laporan kimia berkaitan kes sudah diserahkan.
Mengikut pertuduhan, Along didakwa memiliki bahan disyaki dadah jenis kanabis seberat 1.49 gram di sebuah rumah di Cyberjaya pada jam 3.10 petang, 14 Disember tahun lalu.
Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952, memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Dia turut berdepan dua lagi tuduhan iaitu memiliki 49.61 gram kanabis dan memasukkan dadah jenis 11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9carboxylic acid ke dalam badan.
Pertuduhan kedua dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta sama dibaca bersama Seksyen 38B yang membawa hukuman denda RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun serta pengawasan polis antara dua hingga tiga tahun.
Pada 27 Januari lalu, Mahkamah Sesyen Sepang melepas tanpa membebaskannya (DNAA) atas satu pertuduhan dadah jenis kanabis yang turut berlaku pada 14 Disember. – KOSMO! ONLINE