JAKARTA – Pemilik sebuah restoran bertindak menyenaraihitamkan seorang pelanggannya selepas mendakwa pelanggan berkenaan bersikap sombong dan melakukan ‘body shaming’, lapor portal berita Detik semalam.
Kejadian dikatakan berlaku di Jakarta. Pemilik restoran, Edo Prakoso meluahkan kekecewaannya menerusi platform TikTok dengan menggunakan akaun @edoprakosoo.
Dia melarang pengunjung itu untuk datang lagi ke restorannya.
Edo berkata, pelanggan itu meminta sup tulang rusuk diganti lain selepas memakan separuh hidangan itu kerana tidak panas.
Namun, sup tulang telah habis dijual menyebabkan pekerja restoran memberitahu pelanggan tersebut bahawa dia tidak dapat menggantikannya.
“Makanan itu sudah ‘sold out’ dan pekerja saya hanya boleh meminta maaf dan menawarkan untuk memanaskan semula supnya,” kata Edo.
Pelanggan itu sebaliknya menggelar pekerjanya sebagai gendut, tidak bijak dan tolol, ujarnya.- AGENSI