SEPANG – Pelumba muda negara, Qabil Irfan Azlan mengakui Ivan Rodriguez bukan lawan yang mudah ditundukkan meskipun berjaya menewaskan pelumba berpengalaman dari Sepanyol itu dalam saingan ESBK Talent Cup di Litar Jerez, Sepanyol hujung minggu lalu.
Menurut Qabil, 13, beliau sudah mengenali kemampuan Rodriguez sejak pencabarnya itu muncul juara dunia MiniGP 2022 bagi kategori 190cc selain menjuarai ESBK PraMoto3 musim lalu.
Katanya, kehadiran Rodriguez di perlumbaan pembukaan musim di Jerez menjadi isyarat awal bahawa dia perlu berwaspada dan meningkatkan prestasi tunggangan untuk bersaing merebut kejuaraan.
“Saya telah mengenali Rodriguez sejak di MiniGP lagi dan bagi saya dia bukan calang-calang pelumba.
“Sebab itu, saya berusaha sehabis baik yang boleh untuk berada di atas podium. Syukur Alhamdulilah ini adalah rezeki saya dan dapat memenangi perlumbaan pembukaan ini,” katanya ketika ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sebentar tadi.

Qabil menjuarai Perlumbaan 1 dengan catatan masa 26 minit 22.845 saat (s) sebelum meneruskan momentuk kemenangan tersebut dalam Perlumbaan 2 dengan masa 26:08.299s.
Anak jati Kuala Terengganu itu menyifatkan kejayaan berganda di bumi Sepanyol itu sebagai pembakar semangat kepadanya untuk memburu lebih banyak kemenangan sehingga ke pusingan keenam.
“Saya akan lakukan persiapan kerana selepas ini akan turun bersaing dalam perlumbaan MiniGP nanti,” tambahnya.
Sementara itu, Kerajaan Negeri Terengganu akan menyalurkan insentif khas kepada Qabil atas kejayaannya di pentas antarabangsa.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan & NGO Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, pencapaian Qabil diharap menjadi inspirasi kepada pelumba muda lain.
“Kita bangga dengan pencapaian Qabil dan sudah tentu akan beri ganjaran kepada beliau,” katanya. -KOSMO! ONLINE