PETALING JAYA – Seorang pesara kerajaan yang sebelum ini tular kerana menggajikan anak kandungnya sendiri untuk menjaga beliau yang uzur selain diuji dengan penyakit kanser telah menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Bangi pada petang tadi.
Anak sulungnya, Muhammad Taqiuddin berkata, bapanya, Allahyarham Mohamad Tabarani Selamat, 70, menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 4.10 petang tadi selepas beberapa bulan bertarung dengan penyakit kanser usus dan paru-paru selain masalah kesihatan yang lain sejak Disember lalu.
Katanya, urusan jenazah Allahyarham akan diuruskan di Masjid Teras Jernang, dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teras Jernang selepas solat isyak.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan kisah penuh inspirasi apabila Allahyarham Mohamad Tabarani menggajikan anak ketiganya, Muhammad Ashraaf, 32, sebagai penjaga sepenuh masa selepas tidak mampu untuk menguruskan diri sendiri lagi.
Muhammad Ashraaf yang juga graduan bidang fizik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia sanggup berhenti kerja sebagai pembantu veterinar demi menjaga bapanya yang sakit.
Kisah dua beranak itu turut mendapat perhatian pengguna media sosial selepas ia dikongsikan oleh Muhammad Taqiuddin di Facebook. – KOSMO! ONLINE