KOTA SAMARAHAN – Seorang lelaki mengalami retak tulang tumit kedua-dua kakinya akibat terjun dari bilik sewanya di tingkat tiga sebuah bangunan rumah kedai di Desa Ilmu di sini bagi melarikan diri daripada polis.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Superintendan Damataries Lautin berkata lelaki berusia 32 tahun itu bertindak demikian ketika sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Kota Samarahan menyerbu bilik sewanya kira-kira pukul 10.30 pagi tadi kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.
“Ketika pasukan serbuan sedang mengetuk pintu bilik sewa suspek, tiba-tiba terdengar bunyi dentuman kuat dari bahagian luar bangunan tersebut dan mendengar orang awam menjerit mengatakan ada orang terjun.
“Pasukan serbuan kemudian bergegas ke bahagian bawah bangunan tersebut dan menahan suspek yang sedang duduk di tepi longkang dengan mengalami kecederaan.
“Suspek kemudian dibawa ke Klinik Kota Samarahan dan hasil pemeriksaan doktor mengesahkannya mengalami retak tulang di kedua-dua belah tumit kaki dan akan dirujuk ke Hospital Umum Sarawak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya suspek yang berketurunan Bajau dari Kampung Lebak, Kota Belud, Sabah itu seterusnya dibawa ke pejabat BSJND Kota Samarahan untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata ujian saringan awal turut mendapati suspek positif dadah jenis syabu serta disyaki terlibat dengan kegiatan pengedaran dadah.
Justeru, Damataries berkata suspek ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.-KOSMO! ONLINE