SUBANG JAYA – Penduduk Kampung Kuala Sungai Baru mula bangkit daripada tragedi dengan memulakan kerja-kerja membaik pulih rumah dan premis yang ranap selepas musnah dijilat api akibat kebakaran paip gas pada 1 April lalu.
Memasuki hari ke lapan, tinjauan mendapati hanya penduduk yang layak sahaja dibenarkan masuk ke kawasan terjejas selepas melalui prosedur ketat keselamatan.
Penduduk yang ingin membuat kerja-kerja pembaikan hanya dibenarkan menaiki van milik Prasarana dan perlu melalui pemeriksaan oleh anggota polis yang berkawal di pos kawalan utama.
Berdasarkan pemerhartian Kosmo! juga mendapati beberapa rumah mula dibaik pulih melibatkan kerja pendawaian semula elektrik, pemasangan tangki air.
Turut kelihatan kerja-kerja pembaikan bumbung yang rosak teruk akibat impak haba dan gegaran letupan.
Pengasas Maahad Tahfiz Vokasional Aman Bistari, Mohd. Asri Yunus, berkata proses membaik pulih bangunan institusinya telah dimulakan oleh pihaknya sejak pagi tadi.
“Ada beberapa kerosakan yang berlaku di maahad ini antaranya bumbung zink yang cair dan paip dan tangki air cair dan perlu pemulihan.
Dia berkata, pihaknya mengambil inisiatif membaik pulih bangunan institusi tersebut secepat mungkin demi memastikan pembelajaran pelajar tidak terus terganggu.
“Hari ini kami siapkan semua kerja baik pulih dan bersihkan kawasan supaya pelajar boleh masuk semula esok,” katanya ketika ditemui pemberita selepas memantau kerja-kerja pemulihan bersama kakitangannya hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Asri turut mengarahkan lima kakitangannya turun padang membantu kerja-kerja baik pulih di lima buah rumah penduduk yang terjejas.

Jelasnya, antara bantuan yang diberikan termasuk membaiki sistem pendawaian elektrik, menukar paip air rosak serta membersihkan kawasan kediaman yang ditinggalkan dalam keadaan berselerak akibat insiden tersebut.
“Kami bukan saja pulihkan maahad, tapi turut bantu jiran-jiran yang rumah mereka rosak teruk. Ini masa untuk kita saling bantu-membantu,” ujarnya.
Terdahulu, insiden kebakaran paip gas pada pagi 1 April itu telah menyebabkan lebih 100 mangsa cedera manakala sejumlah 219 rumah rosak dengan 87 daripadanya dalam kategori kerosakan serius.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan sebanyak 439 rumah telah dinilai keselamatannya oleh pihak berkuasa dan siasatan masih giat dijalankan dengan 642 laporan diterima serta 118 saksi sudah dipanggil memberi keterangan. – KOSMO! ONLINE