KOTA BHARU – Seorang pemilik restoran mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan mempamerkan logo halal tanpa kebenaran di premisnya di Jalan Temenggong di sini pada November lalu.
Lim Beng Kee, 48, selaku orang kena saman (OKS) membuat pengakuan itu, selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memerihalkan makanan sebagai halal tanpa memiliki apa-apa kebenaran atau perakuan sah daripada pihak berkuasa di restoran miliknya di Jalan Temenggong, di sini kira-kira pukul 12.46 tengah hari pada 18 November lalu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Muhammadi Iman Masjuri manakala OKS tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Muhammad Iman mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin memandangkan kesalahan yang dilakukan oleh OKS adalah serius.
Beng Kee dalam rayuannya memohon ikat jamin tersebut dikurangkan memandangkan dia tidak mempunyai cukup wang untuk membayar jumlah tersebut.
Hakim membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 13 Mei depan untuk prosiding jatuh hukum dan OKS membayar seperti yang ditetapkan mahkamah. – KOSMO! ONLINE