PETALING JAYA – “Maaf, saya tidak setuju pembuli diberi peluang kedua.”
Itu penegasan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berhubung cadangan dan desakan pihak tertentu yang memintanya memberi peluang kedua kepada pembuli Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
“Maaf, saya tidak setuju untuk diberikan peluang kedua kerana sejak dari awal saya diamanahkan dengan jawatan ini. Berulang kali saya ingatkan dan tegaskan bahawa prinsip saya #YouTouchYouGo.
“Tiada kompromi dan tiada tempat untuk pembuli dan apa jua bentuk budaya buli di mana-mana Institusi Pendidikan Mara termasuk MRSM,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Aysraf Wajdi, hukuman itu tidak mengira pangkat, anak Tan Sri, Datuk Seri atau orang berpengaruh dan jika terlibat buli, maka mereka akan dikenakan tindakan tegas.
“Tidak perlu cari jalan untuk bertemu saya bagi maksud merayu. Pejabat saya tidak sesekali melayani pelaku-pelaku yang melanggar prinsip kemanusiaan seperti ini,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE