KUALA TERENGGANU – Gara-gara memiliki 1,677.1 liter minyak diesel tanpa kebenaran, seorang pemandu lori didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.
Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli memutuskan demikian selepas tertuduh, Mohd. Rozi Mohd. Zain, 39, menukar pengakuan kepada bersalah sebaik pertuduhan dibacakan.
Beliau kemudiannya melepaskan dan membebaskan tiga tertuduh lain kes sama iaitu Hasdi Mustapa, 33; Hasrul Azly Mustapa, 44, dan Mohamad Saufi Abdull Ghapa, 30, berikutan pengakuan bersalah Mohd. Rozi tersebut.
Sebelum ini, keempat-empat tertuduh termasuk Mohd. Rozi membuat pengakuan tidak bersalah sewaktu sebutan pertama kes di mahkamah sama pada 18 November tahun lalu.
Berdasarkan pertuduhan, Mohd. Rozi didakwa memiliki 1,677.1 liter minyak diesel tanpa kebenaran Pegawai Bekalan.
Barang kawalan tersebut ditemui dalam tangki tambahan plastik di atas sebuah lori dipandu tertuduh pada pukul 1.55 pagi, 6 Julai 2023.
Ia dijumpai sepasukan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dalam serbuan di sebuah stesen minyak di Paka, Dungun.
Mohd. Rozi didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE