ISKANDAR PUTERI – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya melumpuhkan kegiatan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa dengan rampasan pelbagai jenis dadah seberat 121 kilogram (kg) bernilai RM14.39 juta susulan penahanan pasangan kekasih di daerah ini, bulan lalu.
Pemangku Pengarah JSJN, Deputi Komisioner Mat Zani @ Mohd. Salahuddin Che Ali berkata, kedua-dua suspek masing-masing berusia 28 tahun itu ditahan di kawasan meletakkan kenderaan di sebuah pangsapuri, di sini.
Beliau berkata, pasukan Narkotik Bukit Aman bersama dengan JSJN Kontinjen Johor telah melancarkan satu operasi khas dengan membuat serbuan dan menahan sebuah kenderaan jenis Honda City yang dinaiki suspek tersebut.
“Hasil pemeriksaan ke atas kereta itu, polis menjumpai dua bungkusan plastik mengandungi dadah syabu anggaran berat 2 kg, enam bungkusan plastik berisi dadah heroin seberat 3.3 kg dan empat bungkusan plastik yang disyaki dadah ‘heroin base’ anggaran berat 1.5 kg.
“Serbuan di pangsapuri itu pada pukul 6.15 petang pula, menjumpai 56 bungkusan plastik berisi pil-pil ekstasi dengan anggaran berat 83 kg dan 69 bungkusan lagi dadah heroin dengan anggaran berat 31.2 kg,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, di sini hari ini.
Menurutnya, pihaknya percaya pangsapuri itu turut dijadikan tempat simpanan dan makmal mini memproses dadah tersebut susulan menjumpai bahan kimia bersama peralatan untuk memproses dadah di bilik berasingan di premis tersebut.
“Modus operandi sindiket ini adalah dengan menjadikan rumah sewa dengan kadar sewaan RM2,500 sebulan sebagai tempat pemprosesan dan stor penyimpanan dadah bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
“Sindiket ini dipercayai aktif sejak September lalu yang menggunakan perkhidmatan kurier bagi mendapatkan bekalan dari Pantai Timur negara sebelum diedarkan untuk pasaran Singapura dan Indonesia selain pasaran tempatan,” katanya.
Katanya, semakan rekod mendapati suspek yang bertindak sebagai penghantar dipercayai menerima upah antara RM8,000 hingga RM10,000 itu mempunyai satu rekod lampau berkaitan ugutan jenayah pada 2014 dan baru dibebaskan dari penjara di Singapura pada Februari tahun lalu. – KOSMO! ONLINE