PETALING JAYA – Skim perlindungan takaful nasional untuk komuniti B40, mySalam memperluaskan perlindungannya meliputi 50 jenis penyakit kritikal, berbanding 45 penyakit kritikal sebelum ini.
Penambahbaikan ini turut merangkumi perlindungan untuk penyakit jarang jumpa, menjadikan mySalam sebagai skim takaful pertama di Malaysia yang menyediakan bantuan kewangan kepada individu didiagnosis dengan penyakit-penyakit ini.
Empat lagi penyakit kritikal di bawah manfaat perlindungan mySalam meliputi penyakit gangguan mental seperti Skizofrenia dan Bipolar, penyakit darah termasuk Talasemia Major dan Anemia Aplastik, penyakit kulit kronik seperti Psoriasis dan Pemphigus Vulgaris, serta penyakit reumatoid seperti Artritis Reumatoid.
Ketua Skim mySalam, Great Eastern Takaful, Syuhaib Ithnin berkata, penambahbaikan ini menzahirkan komitmen mySalam untuk memperkukuh perlindungan kesihatan di Malaysia dengan lebih penumpuan terhadap cabaran berkaitan penyakit kritikal yang semakin meningkat dihadapi oleh masyarakat.
Menurutnya, sejak dilancarkan pada 2019, mySalam memainkan peranan penting menyediakan perlindungan kewangan kepada rakyat Malaysia yang menghidap penyakit kritikal atau dimasukkan ke hospital.
“Skim ini menawarkan bantuan sekali gus sebanyak RM8,000 kepada individu yang didiagnosis dengan penyakit kritikal dan ia membantu meringankan beban kewangan akibat pendapatan yang terganggu.
“Penerima juga layak menerima manfaat elaun hospital harian sebanyak RM50 sehingga 14 hari setahun, dengan jumlah maksimum RM700 setahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, peluasan perlindungan mySalam kepada lebih banyak penyakit kritikal membuktikan komitmen tinggi pihaknya dalam menyediakan perlindungan kewangan kepada golongan rentan.
“Perlindungan penyakit jarang jumpa yang diberikan ini juga memberikan akses rawatan lebih baik kepada mereka yang memerlukan.
“Matlamat kami untuk sentiasa menambah baik skim ini supaya kekal relevan dan efektif melindungi rakyat Malaysia berdepan dengan krisis kesihatan. Kami kekal berdedikasi untuk membantu komuniti dalam menguruskan tuntutan serta membuat semakan,” katanya.
Syuhaib berkata, sehingga kini terdapat 143 kios mySalam di hospital kerajaan di seluruh negara untuk memberikan bantuan secara bersemuka.
Sehingga 31 Disember lalu, mySalam telah membuat pembayaran tuntutan berjumlah RM1.1 bilion dan membantu lebih 1.6 juta rakyat Malaysia. – KOSMO! ONLINE