KUALA LUMPUR – Malaysia akan menyesuaikan diri dengan ‘Tarif Trump’ seperti yang selalu dilakukan negara ini dalam berhadapan dengan cabaran ekonomi.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, strategi kepelbagaian perdagangan Malaysia malah sudah pun bermula.
“Angin mungkin beralih, tetapi kita tidak hanyut. Walaupun kami berhasrat untuk kekal sebagai rakan perdagangan yang teguh dengan Amerika Syarikat (AS), kami akan, seiring, melakukan apa sahaja yang diperlukan untuk menjaga kepentingan ekonomi kami.
“Ini termasuk melibatkan diri secara proaktif dengan AS ke arah mencapai hasil yang saling menguntungkan.
“Pada masa sama mempelbagaikan dan mengukuhkan hubungan kami dengan semua pasaran perdagangan utama di seluruh Kesatuan Eropah, Asia, Timur Tengah dan Afrika,” katanya pada Persidangan Pelaburan ASEAN 2025 di ibu negara hari ini.
Presiden AS, Donald Trump baru-baru ini mengumumkan tarif timbal balik baharu ke atas import dari seluruh negara sekali gus mencetuskan kejutan ekonomi dan ‘menggegarkan’ pasaran global.
Kerajaan AS di bawah pentadbiran beliau mengenakan tarif asas sebanyak 10 peratus terhadap semua barangan import ke AS yang berkuat kuasa 5 April lalu.
Seorang pegawai kanan White House mengesahkan bahawa kira-kira 60 negara digelar ‘pesalah paling teruk’ akan dikenakan tarif timbal balik yang tinggi.
Negara-negara terlibat adalah China sebanyak 34 peratus, Kesatuan Eropah (20 peratus), Thailand (36 peratus), Vietnam (46 peratus), Jepun (24 peratus), Kemboja (49 peratus), Afrika Selatan (30 peratus) dan Taiwan (32 peratus).
Malaysia pula dikenakan tarif timbal balik sebanyak 24 peratus. – KOSMO! ONLINE