MELAKA – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari terhadap seorang peniaga yang memukul pemandu kereta dengan topi keledar hingga terbaring di atas jalan di Jalan Cheng Utama, bulan lalu.
Minggu lalu, tertuduh, Muhammad Ariff Izzat Shahrudin, 27, didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.
Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis membuat keputusan itu selepas memanggil semula kes berkenaan bagi tujuan semakan kehakiman.
Peguam Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh yang mewakili tertuduh berkata, semakan itu dibuat susulan perhatian media dan reaksi awam terhadap hukuman denda berkenaan selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial.
“Hakim menyatakan kebimbangan terhadap keberkesanan hukuman denda sebagai satu bentuk pencegahan khususnya dalam konteks peningkatan kes keganasan jalan raya di negara ini.
“Beliau berpendapat insiden seperti mengekori rapat kenderaan, brek mengejut dan penggunaan kekerasan secara fizikal kini semakin berleluasa dan memerlukan tindakan mahkamah yang lebih tegas sebagai peringatan kepada masyarakat,” katanya kepada pemberita.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syazwanie Marizan memaklumkan tiada arahan lanjut untuk merayu dan mangsa sendiri menganggap hukuman denda itu memadai kerana mengalami kecederaan ringan.
Tambah Sheikh Ikhzan, hakim menegaskan denda RM3,500 tidak memadai sebagai pengajaran dan pencegahan kepada mana-mana pihak yang berniat untuk melakukan buli jalan raya.
“Hakim menegaskan keganasan di jalan raya adalah jenayah serius dan tertuduh menggunakan topi keledar untuk menyerang mangsa. Mangsa bernasib baik hanya mengalami kecederaan ringan tetapi turut mengingatkan penggunaan topi keledar boleh mengakibatkan kecederaan parah.
“Selain itu, mahkamah turut mengambil kira tertuduh juga dituduh atas kesalahan gaduh gempar mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan dalam mahkamah sama dan pada hari sama,” ujarnya.
Setelah meneliti fakta kes, mahkamah menggunakan kuasa semakan jenayah dan meminda hukuman terdahulu dengan menjatuhkan hukuman penjara selama seminggu bermula semalam selain mengekalkan hukuman denda RM3,500. -KOSMO! ONLINE