BRASILIA – Sebuah lori tangki terbalik lalu terbakar sehingga api turut menyambar berpuluh-puluh kenderaan lain yang melalui sebuah lebuh raya di Santa Catarina, Brazil, lapor akhbar The Sun UK semalam.
Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan lori tersebut sedang melalui kawasan selekoh sebelum terbalik dan merempuh penghadang jalan.
Ia serta-merta terbakar, manakala sejumlah besar muatan etanol yang dibawa tumpah di atas jalan sebelum merebak ke kereta lain.
Dalam hanya beberapa saat, berpuluh-puluh kenderaan turut terbakar dengan asap kelabu serta api marak memenuhi jalan, menyebabkan lalu lintas terhenti sepenuhnya.
Secara keseluruhan, sebanyak 22 kereta dan tiga lori terjejas, manakala lima orang cedera termasuk pemandu lori tangki dan kelindan.
Bomba dari beberapa bandar dikerahkan ke lokasi nahas untuk mengawal kebakaran, manakala lebuh raya itu ditutup di kedua-dua arah selepas kejadian. – AGENSI