fbpx

Lelaki gigit isteri didakwa di mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang peniaga kedai runcit dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Kuala Pilah hari ini atas dakwaan menyebabkan kecederaan ke atas isterinya dalam kejadian di sebuah rumah di daerah ini, 1 April lalu. - Foto oleh NOR AINNA HAMZAH

KUALA PILAH – Seorang peniaga kedai runcit dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas dakwaan menyebabkan kecederaan ke atas isterinya dalam kejadian di sebuah rumah di daerah ini, 1 April lalu.

Tertuduh, Lee Jia Cheng, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Yusna Khadijah Md Yusop.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati telah dengan sengaja menyebabkan cedera dengan menggigit dahi, tangan dan bahu isterinya yang juga berusia 32 tahun, kira-kira pukul 3.20 pagi di sebuah rumah di taman perumahan daerah ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farahana Athirah Yaccob memohon satu tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen serta lantikan peguam dan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.

Pengadu (mangsa) dan orang kena tuduh (OKT) adalah suami isteri, duduk di rumah yang sama dan bagi mengelakkan OKT mendekati pengadu, tiada jaminan ditawarkan.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon agar diberikan jaminan kerana mempunyai tanggungan isteri, ibu bapa serta anak berusia dua tahun.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa atau saksi atau pihak ketiga, selain melaporkan diri ke balai polis berhampiran satu kali dalam sebulan, sementara tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 15 Mei ini.

Terdahulu media melaporkan seorang wanita nekad membuat laporan polis apabila dirinya digigit suaminya yang mabuk dalam kejadian di sebuah rumah di taman perumahan di Kuala Pilah, awal pagi 1 April lalu.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Low, 30an, berkata, kejadian berkenaan merupakan kejadian ketiga dia menjadi mangsa keganasan rumah tangga di mana kejadian pertama pada tahun 2022 dan tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI