LIPIS – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun cedera di muka selepas dipercayai terjatuh dari sebuah kenderaan di Kilometer 5, Jalan Lipis-Merapoh dekat Kampung Tempoyang, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 11 pagi ketika kanak-kanak terbabit sedang dalam perjalanan bersama bapanya yang berusia 36 tahun.
“Ketika kejadian pemandu kereta jenis Proton Iswara Aeroback dalam perjalanan dari sebuah kedai perkakasan di Tempoyang menuju ke Simpang Tempoyang untuk membuat pusingan U.
“Sebaik sahaja membuat pusingan, pemandu berhenti di tepi jalan untuk menjawab panggilan telefon. Selepas itu, dia meneruskan perjalanan dan hanya menyedari anaknya tiada dalam kenderaan ketika tiba di Kilometer 7 Jalan Lipis-Merapoh,” katanya di sini, hari ini.
Tambah Ismail, pemandu terbabit kemudian bergegas ke Balai Polis Kuala Lipis untuk membuat laporan setelah gagal menemui anaknya.
Katanya, dalam masa yang sama, terdapat pengguna jalan raya yang melalui lokasi kejadian telah menemui seorang kanak-kanak dengan kecederaan di bahagian muka dalam keadaan seorang diri di tepi jalan.
“Orang awam tersebut kemudiannya membawa mangsa ke Balai Polis Padang Tengku sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Padang Tengku untuk rawatan.
“Hasil siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai terjatuh melalui tingkap pintu belakang sebelah kiri kenderaan yang terbuka ketika pemandu memberhentikan kereta untuk menjawab panggilan. Mangsa kini menerima rawatan lanjut di Hospital Kuala Lipis,” katanya. – KOSMO! ONLINE