HASRAT skuad ragbi tujuh sebelah (7’s) negara untuk merangkul kejuaraan pada Kejohanan Ragbi SEA 7’s yang berlangsung di Singapura tidak kesampaian apabila muncul naib juara dalam kedua-dua kategori lelaki dan wanita.
Skuad lelaki bimbingan Nik Safuan Ismade Nik Man akur dengan kekalahan 5-10 di tangan Thailand, manakala pasukan wanita tewas 5-12 kepada Singapura yang turun sebagai tuan rumah pada aksi final, Sabtu lalu.
Walaupun tewas, namun Nik Safuan tetap berpuas hati dengan aksi ditampilkan anak-anak buahnya memandangkan mereka tidak menjalani latihan cukup pada Ramadan yang lalu jika dibandingkan dengan pasukan lawan.
“Memang kita akur dengan kekalahan ini jika mengambil kira dari sudut kecergasan kerana kita hanya menjalani 19 sesi latihan pada bulan Ramadan berbanding Thailand yang sudah melakukan persiapan sejak 2023.
“Biarpun keputusan tidak memihak, namun saya menganggap ini sebagai satu permulaan yang baik untuk pasukan dalam misi menghadapi Sukan SEA 2025 pada penghujung tahun ini,” katanya.
Dalam pada itu, skuad wanita gagal untuk terus melakar kejutan dengan membawa pulang kejuaraan biarpun berjaya menundukkan juara bertahan, Thailand menerusi kemenangan 17-12 di separuh akhir.
Ketua jurulatih skuad wanita negara, Muhammad Faiz Samsukhidir berkata, masih banyak aspek yang perlu diperbaiki anak-anak buahnya bagi memastikan mereka dapat menampilkan aksi lebih baik pada masa hadapan.
“Secara keseluruhan, pemain tidak menunjukkan prestasi sebenar kerana bermain di bawah tekanan. Bagi aksi final, kami terpaksa akur tewas kepada Singapura yang memiliki kelebihan dari segi kecergasan,” ujarnya.