KUALA TERENGGANU – Padah menyorok 2.21 tan minyak masak peket bersubsidi pada tahun lalu, seorang pengusaha premis pemborong didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli memerintahkan hukuman demikian selepas Orang Kena Saman (OKS), Abu Bakar Abdul Rahman, 42, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan.
Berdasarkan pertuduhan, Abu Bakar didakwa menyembunyikan 2,210 kilogram minyak masak peket di premis perniagaannya yang terletak di Kampung Rhu Muda, Marang.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada pukul 1.38 tengah hari, 31 Januari 2024.
Mengikut fakta kes, Abu Bakar hanya menunjukkan sembilan kotak minyak masak peket yang telah rosak sewaktu premis perniagaannya diperiksa sepasukan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KDPN).
Begitupun, pemeriksaan lanjut anggota penguat kuasa KPDN kemudiannya menjumpai 130 kotak mengandungi 2.21 tan minyak masak peket di dalam stor penyimpanan.
Minyak masak peket terbabit didapati tidak isytihar OKS bagi tujuan disorok daripada dijual sehingga menyusahkan pengguna.
Abu Bakar didakwa mengikut Seksyen 22 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE