fbpx

Kebakaran saluran paip gas: Siasatan dipercepat, operasi 24 jam dilaksana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hussein pada sidang akhbar berhubung perkembangan terkini kebakaran paip gas di Putra Heights, hari ini. -Foto oleh ISKANDAR ISHAK/KOSMO!

SUBANG JAYA – Siasatan insiden letupan dan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights dipercepat susulan dua tindakan baharu yang dilaksanakan pihak berkuasa teknikal bermula semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, langkah pertama ialah menambah jumlah jentera yang terlibat dalam kerja-kerja pengorekan di kawasan kejadian.

Langkah kedua pula, katanya, adalah pelaksanaan operasi 24 jam tanpa henti bagi memastikan proses mendedahkan paip yang terlibat dapat dijalankan lebih pantas dan lancar.

“Kalau sebelum ini saya umumkan siasatan awal mengambil masa dua minggu, dengan pelaksanaan dua tindakan baharu ini, kita jangka ia dapat diselesaikan lebih awal daripada tempoh tersebut.

“Namun, saya tidak dapat tetapkan bilangan hari tepat kerana ia bergantung kepada faktor cuaca dan keadaan tanah yang lembap serta liat,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, ketika ini kerja-kerja menstabilkan tanah telah mencapai kira-kira 30 peratus dan pemasangan sheet pile (cerucuk kepingan) dijangka bermula petang ini bagi membolehkan proses penggalian diteruskan secara selamat.

Tambahnya, agensi-agensi teknikal yang terlibat dalam siasatan termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Petronas akan berada di lokasi secara bergilir 24 jam.

“Fokus utama kita kini ialah mendedahkan keseluruhan sistem paip yang terlibat untuk tujuan siasatan menyeluruh,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI