SHAH ALAM – Kira-kira 100 tan sampah berjaya dikeluarkan dalam tempoh seminggu dari kawasan perumahan yang terjejas akibat kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, baru-baru ini.
Pengarah urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Datuk Ramli Tahir berkata, kutipan tersebut adalah hasil sisa sampah domestik dan pukal dalam operasi yang bermula sejak hari kedua kejadian sehingga semalam.
Katanya, secara purata dianggarkan sehingga 18 tan sehari berjaya dikeluarkan bersama beberapa pihak termasuk Sukarelawan Selangor dan Majlis Bandaraya Subang Jaya.
“Pekerja sudah dibenarkan masuk ke lokasi sejak hari kedua kejadian namun dengan jumlah terhad dengan kira-kira dalam 50 orang bagi tujuan pembersihan itu.
“Kita berjaya mengutip dan membawa keluar 12 hingga 18 sampah sehari,” katanya hari ini.
Terdahulu, kebakaran paip gas kebakaran saluran gas hingga menghasilkan letupan besar kira-kira pukul 8.10 pagi pada 1 April lalu, telah menyebabkan 437 rumah terkesan dengan 81 daripadanya musnah sepenuhnya.
Mengulas lanjut, Ramli berkata, pihaknya telah menyediakan tong sampah pukal (RORO) bermula semalam, di Taman Putra Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru bagi memudahkan mangsa menjalankan kerja pembersihan.
“Difahamkan ada mangsa sudah balik ke rumah dan kita sediakan tong RORO bagi memudahkan sampah pukal seperti perabot dapat dikeluarkan mereka.
“Kemudian kita akan bawa semua aset antaranya lori kompaktor, pembersih takungan air dan mesin penyembur air berkuasa tinggi bagi tujuan seterusnya,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE