PETALING JAYA – Insiden letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya baru-baru ini menjejaskan sembilan struktur telekomunikasi di sekitar kawasan berkenaan.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan berkata, satu struktur tersebut milik CelcomDigi, dua milik Maxis dan enam milik U Mobile.
“Semua struktur ini mengalami gangguan bekalan elektrik. Hasil tindakan pemulihan segera oleh syarikat penyedia perkhidmatan (Telco), semua perkhidmatan berjaya dipulihkan sepenuhnya pada hari sama.
“Bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan Internet kepada petugas dan mangsa yang berlindung di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights, pihak Telco telah mengoptimumkan struktur sedia ada untuk memenuhi peningkatan keperluan perkhidmatan,” kata kenyataan itu hari ini.
MCMC berkata, sebuah unit Mobile Cellular Vehicle (MCV) turut digerakkan ke lokasi bagi meningkatkan lagi kualiti liputan di kawasan berkenaan.
Kata MCMC, pada masa sama, Telekom Malaysia (TM) menyediakan kemudahan WiFi percuma di dua lokasi PPS sebagai langkah tambahan.
Menurut MCMC, sebagai sokongan kepada mangsa terkesan, pihak Telco sedang giat berhubung dengan pelanggan mereka bagi menawarkan bantuan seperti penggantian kad SIM dan peranti yang rosak, penyelarasan bil serta membuka kaunter perkhidmatan khas di lokasi PPS untuk memudahkan urusan mereka.
“MCMC akan terus memantau secara rapi dan bekerjasama dengan semua pihak terlibat bagi memastikan kualiti perkhidmatan komunikasi kekal pada tahap terbaik khususnya kepada mangsa yang berlindung di PPS,” kata kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE