SUBANG JAYA – Bekalan elektrik di kawasan perumahan yang terjejas akibat kebakaran paip gas di Putra Heights, dijangka pulih sepenuhnya menjelang Jumaat ini.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim berkata, kerja-kerja pemulihan sedang giat dijalankan bagi memastikan semua kawasan kembali mendapat bekalan.
“Saya dimaklumkan tadi, kalau mengikut perancangan, insha-Allah menjelang Jumaat ini bekalan elektrik akan selesai sepenuhnya termasuk di kampung-kampung sekitar sini,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa terdapat beberapa rumah yang masih belum menerima bekalan disebabkan isu pemilik rumah belum pulang ke kediaman masing-masing.
“Untuk kawasan yang bekalan sudah sampai ke meter, pemasangan akan dilakukan tetapi fius keselamatan hanya akan dipasang apabila pemilik rumah sedia untuk kembali masuk.
“Sekiranya rumah itu tidak selamat, bekalan tidak akan disambung,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa perkhidmatan komunikasi seperti internet dan bekalan gas petroleum juga akan kembali pulih menjelang Jumaat.
Katanya, ia berikutan hasil beberapa siri mesyuarat bersama pihak berkaitan.
“Siasatan sedang dijalankan secara terperinci melibatkan pelbagai pihak termasuk pakar geoteknikal dan integriti saluran paip gas.
“Kita tidak mahu sembunyikan apa-apa kerana ini melibatkan keselamatan semua pihak,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE