SUBANG JAYA – Sebanyak 270 buah rumah yang terlibat dalam insiden letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights kini disahkan selamat untuk diduduki semula selepas pemeriksaan dilakukan oleh agensi teknikal berkaitan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, jumlah itu merupakan sebahagian daripada 437 rumah yang terletak dalam lingkungan 325 meter radius dari kawasan ‘ground zero’ kejadian.
“Penilaian dibuat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Ia termasuk pemeriksaan struktur dan keselamatan kediaman,” katanya dalam sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), Jalan Putra Harmoni, di sini hari ini.
Selain itu katanya, sebanyak 571 buah kenderaan turut dinilai oleh pihak JBPM, dengan 88 daripadanya mengalami kerosakan melebihi 50 peratus, 332 rosak bawah 50 peratus, manakala 151 lagi tidak terjejas.
Menurut Hussein, seramai 120 anggota polis kini ditugaskan untuk mengawal keselamatan kawasan terjejas, termasuk pasukan dari Pasukan Gerakan Am (PGA) yang berkawal 24 jam di setiap simpang dan laluan masuk.
“Kalau ada laporan kehilangan atau kecurian, orang ramai diminta segera membuat laporan di balai polis berhampiran atau di balai bergerak yang disediakan di pusat pemindahan sementara (PPS),” jelasnya.
Dalam kejadian pada 1 April lalu, letupan saluran paip gas Petronas berlaku pada pukul 8.10 pagi menyebabkan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah lebih 1,000 darjah Celsius. – KOSMO! ONLINE