PETALING JAYA – Sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak hanya menitik berat soal halal semata-mata, bahkan elemen toyyib yang sering dilupakan juga perlu diambil berat dalam memastikan makanan itu baik untuk kesihatan selain disediakan secara beretika.
Pensyarah Fakulti Kesihatan dan Sains Hayat Management and Science University (MSU) Muhammad Reza Amin Reza Adnan berkata, berdasarkan istilah ‘halalan toyyiban’ berasal daripada al-Quran, ia bukan sekadar label makanan biasa, tetapi merupakan satu panduan hidup.
Menurutnya, dalam konteks ini, halal merujuk kepada sesuatu yang dibenarkan dalam syariat Islam, manakala toyyib membawa maksud lebih luas iaitu bersih, selamat, berkhasiat, dan bermanfaat.
“Tidak semua yang halal itu toyyib bagi setiap individu. Contoh paling mudah adalah gula. Gula merupakan bahan halal dan bahan utama dalam kebanyakan kuih-muih, kek dan minuman.
“Namun, bagi individu yang menghidap diabetes, pengambilan gula berlebihan boleh membawa mudarat. Pendekatan toyyib dalam hal ini adalah mengawal jumlah gula atau menggantikannya dengan alternatif lebih sihat,” katanya.
Beliau berkata, begitu juga dengan makanan berminyak yang mana walaupun halal, pengambilan secara berlebihan boleh meningkatkan paras kolesterol, sekali gus memberi risiko kepada mereka yang menghidap penyakit jantung atau darah tinggi.
“Individu mempunyai penyakit gout perlu berhati-hati dengan makanan tinggi purin seperti organ dalaman dan makanan laut, walaupun halal dan berkhasiat, tetapi ia boleh meningkatkan kadar asid urik yang menyebabkan serangan gout.
“Pesakit buah pinggang pula harus mengawal pengambilan natrium, kalium, dan fosforus walaupun ia datang daripada sumber halal,” katanya.
Muhammad Reza Amin berkata, pendekatan toyyib mengingatkan umat Islam supaya makan secara seimbang dengan mengambil kira keperluan kesihatan dan menjaga tubuh yang telah diamanahkan oleh Allah.
“Konsep toyyib juga meliputi cara penyediaan makanan. Kebersihan, penjagaan kesihatan, dan sumber bahan mentah yang beretika sama pentingnya dengan jenis makanan yang digunakan.
“Semasa persiapan hari raya, kita perlu memastikan kebersihan dapur, memilih bahan berkualiti, serta menyediakan makanan dengan penuh keikhlasan dan tanggungjawab.
“Kita perlu mengelakkan pembaziran makanan. Nabi Muhammad SAW mengutamakan kesederhanaan dan membenci pembaziran. Oleh itu, menyediakan makanan dalam jumlah yang mencukupi, menyimpan lebihan makanan dengan baik, serta berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan adalah sebahagian daripada amalan toyyib selari dengan ajaran Islam,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan tiba masanya bagi setiap keluarga mengambil langkah lebih proaktif untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan lebih sihat.
“Ketika kita meraikan hari raya tahun ini, biarlah setiap hidangan menjadi cerminan kepada pilihan yang lebih sihat dan bertanggungjawab.
“Jangan hanya tertumpu kepada, ‘adakah ini halal?’ tetapi juga, ‘adakah ini toyyib’ selamat, dan baik untuk diri serta keluarga saya?’,” katanya. – KOSMO! ONLINE