fbpx

Enam pelajar UIAM antara mangsa letupan Putra Heights

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian rumah penduduk yang musnah dalam kejadian letupan dan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lalu.

PETALING JAYA – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bersedia memudahkan sesi pembelajaran pelajarnya yang terjejas dalam insiden ­letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya minggu lalu.

Pejabat Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Komuniti) UIAM berkata, seramai enam pelajar yang terkesan dalam insiden tersebut menerima bantuan tunai dan kit makanan.

Katanya, kesemua mereka bagaimanapun tidak me­ngalami kecederaan. Dua daripada mereka ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS), manakala selebihnya menetap bersama ahli keluarga.

“Pihak kami sudah mendapatkan maklumat kerosakan harta benda dan perkara lain yang berkaitan.

“Kita juga menubuhkan kumpulan WhatsApp untuk berhubung dan memaklumkan me­ngenai bantuan yang disediakan. Setakat ini kita sampaikan kit makanan dan wang RM1,000 seorang,” katanya dalam kenya­taan semalam.

Menurut kenyataan itu, pihak UIAM menyokong hasrat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang meminta institusi pengajian tinggi (IPT) memberikan fleksibiliti kepada pelajar yang terkesan dalam bencana dahsyat tersebut.

“Kita menyokong saranan Ke­tua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman yang meminta IPT beri fleksibiliti kepada pelajar terbabit. Mekanisme bagi memudahkan pelajar menyertai kuliah akan dibincangkan kelak,” katanya.

Terdahulu, KPT menyalurkan bantuan RM2,000 kepada penuntut IPT yang terkesan susulan insiden kebakaran tersebut.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Anesee Ibrahim memaklumkan, selain bantuan kewangan, pihaknya turut membawa pakar ­perubatan dan kumpulan sokongan psikososial untuk menyantuni mangsa terlibat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI