fbpx

Buli MRSM: ‘Peraturan tak tentu fasal buat pelajar stres, berontak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rita berpendapat, berpendapat peraturan sekolah yang ketat di institusi pendidikan antara punca mendorong kepada berlakunya gejala buli.

PETALING JAYA – Terpanggil bersuara tentang kes buli melibatkan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), pelakon Rita Rudaini berpendapat peraturan sekolah yang ketat di institusi pendidikan antara punca mendorong kepada berlakunya gejala buli.

Rita atau nama lengkapnya Rita Rudaini Mohammad Mokhtar, 48, memaklumkan pelajar sekolah zaman kini tidak berfikir panjang dalam membuat sesuatu keputusan termasuk melakukan jenayah.

“Kadang-kadang peraturan yang ketat dan tegas tak tentu fasal pun boleh buat budak-budak stres dan mula memberontak, buat hal dan kacau orang. Dari seronok-seronok kacau terus naik taraf kepada buli.

“Ada yang tak kacau orang tetapi nak lepaskan stres dengan cara lain seperti hisap rokok atau vape. Budak-budak sekarang walaupun lahir di zaman canggih tetapi otak mereka tak secanggih budak zaman dulu.

“Budak-budak zaman dulu nak buat satu benda memang akan fikir 100 kali sambil terbayang kena libas. Budak-budak sekarang buat dahulu fikir? Nanti bila-bila lapang baru fikir,” katanya dalam hantaran Instagram.

Berkongsi lanjut, pelakon filem Mami Jarum itu menegaskan bahawa ibu bapa juga mendorong pembentukan sikap pelajar selain pengaruh daripada rakan sebaya.

“Didikan juga bermula dari rumah. Nak tengok keperibadian seseorang, tengok dengan siapa dia berkawan.

“Ketegasan dan kekerasan berbeza, hormat dan takut mana satu pilihan,” jelasnya.

Dalam masa sama, Rita turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki atas tindakan pantas menamatkan pengajian pembuli yang terlibat.

“Terima kasih Asyraf Wajdi, tindakan yang cepat walaupun benda dah jadi tahun lepas. Pihak Maktab tak patut sorok atau ambil ringan.

“Maktab tak salah, mana-mana sekolah pun sama. Yang tak betul perangai dan sikap manusia.

Sebelum ini, tular sebuah video dipercayai membabitkan pelajar di sebuah MRSM di Pulau Pinang.

Rakaman video tersebut memaparkan sekumpulan pelajar lelaki menghempap kepala dan badan seorang pelajar lain dalam keadaan tertiarap di atas katil.

Remaja lelaki berkenaan turut dilihat disebat dengan tali pinggang pada bahagian punggung.

Namun, tidak dapat dipastikan sama ada tindakan tersebut adalah satu gurauan atau perbuatan buli. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI