fbpx

BAC 2025: Soon Huat-Shevon mandi peluh ke pusingan kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SOON Huat dan Shevon melepasi ujian sukar ketika menewaskan Sathish-Aadya di pusingan pertama sebentar tadi. - SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR – Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai dipaksa bekerja keras sebelum meneruskan kemaraan ke pusingan kedua pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 di Ningbo, China.

Pada aksi pusingan pertama di Pusat Sukan Olimpik Ningbo sebentar tadi, gandingan No.3 dunia itu terpaksa berhempas pulas sebelum menang 21-18, 21-19 ke atas Sathish Karunakaran-Aadya Variyath dari India.

Soon Huat-Shevon bermula agak goyah dalam kedua-dua set permainan apabila terlebih dahulu ketinggalan kepada beregu No.30 dunia itu sebelum bangkit dan memenangi perlawanan tersebut.

Perlawanan itu dilihat hampir diheret ke set penentuan apabila Sathish-Aadya mendahului set kedua 18-11, namun keazaman dipamerkan Soon Huat-Shevon menyaksikan mereka berjaya bangkit dan mencatat kemenangan dramatik.

Menjelang pusingan kedua nanti, pasangan suami isteri itu akan menantikan pemenang perlawanan antara beregu Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsamparan dan Julius Villabrille-Nicole Albo dari Filipina.

Turut melangkah ke pusingan kedua adalah beregu campuran negara, Yap Roy King-Valeree Siow yang menewaskan pasangan India, Rohan Kapoor-Ruthvika Gadde 18-21, 21-17, 21-17.

PANG Ron-Su Yin terpaksa pulang awal selepas tewas di pusingan pertama. – SHIDDIEQIIN ZON

Sementara itu, hasrat dua lagi beregu campuran, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin dan Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien untuk mara ke pusingan kedua lebur apabila tewas kepada lawan masing-masing.

Dalam aksi kelayakan yang berlangsung lebih awal, perseorangan lelaki negara, Justin Hoh memastikan kemaraan ke undian utama apabila muncul juara saingan Kumpulan A selepas memenangi dua perlawanan.

Justin membenam cabaran pemain Iran, Amirhossein Hasani dengan kemenangan mudah 21-6, 21-14 sebelum menewaskan Jewel Angelo Albo dari Filipina, juga menerusi aksi straight set 21-14, 21-9.

Bagaimanapun, bekas juara remaja Asia itu dijangka berdepan laluan sukar pada pusingan pertama nanti apabila dijadualkan menentang perseorangan No.1 Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI