GEORGE TOWN – Anggota polis lelaki yang dipercayai tertembak diri sendiri dengan sepucuk pistol di bilik pengawal Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini dilaporkan mengalami kecederaan parah pada kepala.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 6.12 petang tadi apabila mangsa berusia 58 tahun yang bertugas di Cawangan Kem Komandan ditemui dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan kecederaan.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati satu das tembakan telah dilepaskan daripada sepucuk pistol yang digunakan mangsa.
“Siasatan masih diteruskan dari pelbagai sudut. Kes disiasat di bawah Seksyen 39, Akta Senjata 1960,” katanya di sini malam ini.
Menurutnya, setakat ini mangsa sedang menerima rawatan di Zon Merah, Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Pulau Pinang (HPP).
Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
”Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes ini sehingga siasatan polis selesai,” katanya. -KOSMO! ONLINE