SUBANG JAYA – Kerajaan negeri menyalurkan Bantuan Iltizam Anak Istimewa Selangor (Anis) kepada kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) yang terjejas termasuk seorang anak kecil yang mengalami masalah pendengaran dan pertuturan.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata, bantuan berbentuk kewangan serta keperluan khas itu melibatkan aspek pendidikan, perubatan dan peralatan hasil lawatan serta penilaian oleh pihaknya di pusat pemindahan sementara (PPS).
“Saya bertemu seorang ibu tadi, anaknya ada ‘cleft’ (sumbing) dan perlu jalani pembelajaran khas.
“Kita akan pastikan bantuan diberikan segera melalui Anis. Setakat ini, enam kanal-kanak OKU telah dikenal pasti bagi menerima bantuan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di PPS Masjid Putra Heights di sini, hari ini.
Jelasnya, kerajaan negeri komited menyalurkan segala bentuk bantuan kepada keluarga terkesan terutama mereka yang mempunyai anak-anak OKU agar tidak tercicir daripada pendidikan dan rawatan.
Dalam pada itu, Anfaal memaklumkan bahawa penduduk yang terjejas di Kampung Kuala Sungai Baru dan Taman Putra, Putra Heights hanya akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas tahap kualiti udara disahkan benar-benar selamat.
Ujarnya, meskipun 130 buah rumah sudah mendapat kelulusan teknikal untuk diduduki ada antara mereka yang kembali ke PPS selepas anak mengalami masalah pernafasan, dipercayai akibat kesan pencemaran. – KOSMO! ONLINE