fbpx

Akar pokok reput, hujan punca batu 50kg ragut nyawa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang lelaki warga Bangladesh maut selepas kepalanya ditimpa batu seberat 50 kilogram ketika menunggang motosikal di Jalan Paya Terubong, Jumaat lalu.

GEORGE TOWN – Akar pokok yang reput serta struktur tanah lembik akibat hujan dikenal pasti sebagai punca utama kejadian batu jatuh di Jalan Paya Terubong pada Jumaat lalu, sehingga meragut nyawa seorang penunggang motosikal warga asing.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, siasatan awal oleh Jabatan Kerja Raya Pulau Pinang (JKRPP) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mendapati bongkah batu bersaiz 0.45 x 0.36 meter itu menggelongsor dari permukaan cerun akibat lilitan akar yang lemah.

“Batu tersebut dipercayai bergolek dari cerun dan berlanggar dengan bongkah lain di dalam longkang bahu jalan sebelum sepenuhnya jatuh ke permukaan jalan.

“Berdasarkan kesan batu pecah dan kedudukan mangsa, dia dipercayai melanggar batu yang telah jatuh terlebih dahulu, bukan dihempap seperti yang dilaporkan,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang lelaki warga Bangladesh maut selepas kepalanya ditimpa batu seberat 50 kilogram ketika menunggang motosikal di Jalan Paya Terubong, di sini, Jumaat lalu.

Mangsa, seorang buruh binaan berusia 34 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan muka.

Zairil berkata, susulan kejadian itu, pihaknya segera mengarahkan JKRPP dan MBPP untuk menjalankan kajian teknikal dan kestabilan cerun di lokasi kejadian. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI