PETALING JAYA – Keseronokan warga asing menjaja sekitar lorong berhampiran Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang, dekat sini terbantut apabila diserbu pihak berkuasa.
Serbuan menerusi operasi KL Strike Force itu dijalankan sepasukan anggota dan pegawai daripada Jabatan Imigresen (JIM) Kuala Lumpur bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bermula kira-kira pukul 11.13 pagi tadi.
Pengarah JIM Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, hasil operasi lebih sejam itu, pihaknya berjaya menahan enam orang pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia 21 hingga 50 tahun selepas memeriksa 50 individu di kawasan berkenaan.
Jelasnya, kesemua yang ditahan adalah lelaki yang terdiri daripada lima warga Bangladesh dan seorang warga Myanmar dipercayai penjaja haram di lorong berkenaan.
“Antara kesalahan yang dilakukan termasuk tinggal lebih masa dan tiada dokumen pengenalan atau pasport.
“Selain itu, pihak DBKL juga turut membuat sitaan barangan perniagaan termasuk dua buah lori yang digunakan warga asing berkenaan,”katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Wan Mohammed Saupee berkata, ketika serbuan dilakukan ada kalangan warga asing terbabit cuba melarikan diri.
“Bagaimanapun tindakan itu sia-sia kerana lorong di belakang kedai itu telah dikepung dan mereka tidak boleh meloloskan diri.
“Operasi yang kita jalankan hari ini juga dilakukan secara mengejut selepas kawasan ini viral di media sosial”ujarnya.-KOSMO! ONLINE