fbpx

5 pelajar kes buli MRSM sudah diambil keterangan – Polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar kejadian buli melibatkan sekumpulan pelajar MRSM di Pulau Pinang.

SEBERANG PERAI – Polis sudah merakamkan keterangan terhadap lima daripada tujuh pelajar sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Pulau Pinang di sini yang dipercayai terlibat dalam kejadian buli, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Deputi Superintendan Mohd. Norazmi Abd. Ghapar berkata, pelajar terbabit termasuk mangsa terlibat telah hadir ke IPD SPS sebelum masing-masing dibenarkan pulang ke rumah.

“Baki dua lagi pelajar akan diambil keterangan dan akan disiapkan (keterangan) dalam tempoh dua hingga tiga hari lagi.

“Ketujuh-tujuh mereka merupakan pelajar di Tingkatan Tiga. Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan,” katanya kepada Kosmo!, di sini hari ini.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan kejadian buli yang tular di media sosial melibatkan sekumpulan pelajar di sebuah MRSM di Pulau Pinang akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya sejurus siasatan selesai dijalankan.

Susulan kes tersebut, polis telah membuka satu kertas siasatan berdasarkan klip video yang tular di media sosial Facebook semalam.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menerusi satu kenyataan di Facebook mengesyorkan tujuh pelajar terbabit dikenakan tindakan buang sekolah selepas didapati terlibat dengan kejadian buli, baru-baru ini.

Katanya, siasatan mendapati dua daripadanya terlibat buli fizikal manakala bakinya bersubahat.

“Disyorkan semuanya ditamatkan pengajian di MRSM. Laporan yang diterima daripada pegawai saya, pelajar-pelajar terbabit sudahpun pulang ke pangkuan keluarga masing-masing semalam dan hari ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI