fbpx

24 mangsa kebakaran paip gas layak mohon bantuan Perkeso

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohammed Azman (dua dari kiri) dan Steven pada majlis Manisnya Syawal Perkeso di Menara Perkeso, Kuala Lumpur hari ini. - Foto oleh M. FIRDAUS M. JOHARI / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Semakan awal bagi penyaluran faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mendapati 24 daripada 46 mangsa tragedi letupan saluran paip gas di Putra Heights, layak memohon bantuan peralatan pemulihan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, saringan terhadap kumpulan pertama mangsa tragedi hari kedua Syawal itu dibuat dalam kalangan mereka yang dimasukkan ke hospital dan klinik swasta di sekitar Lembah Klang.

Menurutnya, semakan lanjut akan diteruskan meliputi 88 mangsa yang dikenal pasti sedang menerima rawatan di hospital kerajaan di Kuala Lumpur, Serdang, Selayang, Shah Alam dan Klang.

“Difahamkan terdapat 134 mangsa terbabit dalam tragedi di Putra Heights, justeru Perkeso sudah membuat semakan awal merangkumi 46 orang. Selebihnya kita sedang menunggu maklumat rasmi dari hospital kerajaan.

“Daripada semakan awal, 24 mangsa layak memohon peralatan pemulihan seperti yang termaktub menerusi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sekiranya mereka memerlukan peralatan berkenaan, boleh terus memohon dan Perkeso sedia membantu mendapatkan sokongan dan rawatan pemulihan yang bersesuaian.

Mengulas lanjut, Mohammed Azman berkata, Perkeso sedia membantu proses tuntutan semua pencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) yang terbencana semasa menjalankan pekerjaan dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) yang tercedera dalam insiden berkenaan.

Katanya, Perkeso cakna terhadap nasib menimpa mangsa tragedi, dengan Skuad Perkeso Prihatin Selangor dan Kuala Lumpur sentiasa berada di lokasi pada hari kejadian dan melawat mangsa di hospital untuk mendapatkan perkembangan terkini.

“Kita juga bersedia membantu semua mangsa menerusi Program Sinergi Sosial dengan menyalurkan maklumat kepada agensi lain supaya mereka mendapat bantuan bersesuaian.

“Perkeso bersimpati dengan nasib dialami mangsa tragedi dan didoakan agar mereka terus tabah menghadapi dugaan berat ini,” katanya.

Terdahulu, beliau hadir pada majlis Manisnya Syawal Perkeso berlangsung di Menara Perkeso di sini, serta dimeriahkan dengan kehadiran lebih 1,000 tetamu.

Ia turut dihadiri oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong dan Timbalannya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI