fbpx

200 kilogram abu al-Quran ‘dilupuskan’ di laut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Operasi menenggelamkan abu al-Quran berhampiran Pulau Payar, Kuala Kedah hari ini.

PETALING JAYA – Sebanyak 200 kilogram abu hasil pembakaran al-Quran telah dilupuskan melalui kaedah penenggelaman kira-kira lima batu nautika dari Pulau Payar, Kuala Kedah hari ini.

Operasi tersebut dilaksanakan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kedah dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kubang Pasu sempena Program Pelupusan Abu Pembakaran Teks al-Quran Kali Pertama Tahun 2025 di perairan negeri Kedah.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, pelaksanaan program itu telah disempurnakan dengan kehadiran enam pegawai dari PPD Kubang Pasu serta lapan pegawai dan anggota Zon Maritim Kuala Kedah diketuai oleh Leftenan Madya Maritim Mohamad Sikdiq Zulkifli.

Jelasnya, program julung kali diadakan itu melibatkan pelupusan sebanyak dua tan teks al-Quran yang telah dibakar dan menghasilkan 200 kilogram abu.

“Semua abu berkenaan yang diletakkan secara berasingan di dalam 50 bungkusan plastik dibawa menggunakan Bot Perkasa 1226 milik Maritim Malaysia.

“Dengan mengambil kira cara terbaik bagi melupuskan al-Quran, semua abu itu berjaya dilupuskan dengan kaedah penenggelaman di laut bagi memastikan kesucian dan kemuliaan al-Quran terpelihara,” katanya di laman Facebook.

Mengulas lanjut, Noor Azreyanti berkata, terdapat beberapa kaedah khusus yang perlu dilakukan sekiranya ingin melupuskan al-Quran, antaranya ialah dengan membakarnya di tempat yang sesuai dan abunya dihanyutkan ke dalam air sungai atau air laut deras.

“Al-Quran juga boleh dibakar dan kemudian abunya ditanam ke dalam tanah atau mana yang sudah rosak boleh ditanam ke dalam tanah yang tidak dilalui orang atau binatang buas,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI