SUBANG JAYA – Seramai 12 daripada 60 pelajar sesi pagi yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights dan Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (Dewan Camelia), hadir ke sekolah pagi ini.
Menurut Pengurus Besar Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), Nur Mohd Razali Abdullah, baki yang tidak hadir berkemungkinan masih terkesan susulan kejadian kebakaran paip gas di Putra Heights, baru-baru ini.
“Seramai 12 pelajar sekolah menengah dan rendah yang masih bersemangat untuk ke sekolah pagi ini. Baki yang tidak hadir mungkin masih lagi trauma selepas kejadian kebakaran yang menimpa mereka dan keluarga.
“Kami dengan pihak PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) akan berusaha untuk pujuk pelajar-pelajar ini selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya bantuan disalurkan kepada pelajar semua peringkat persekolahan yang terjejas,” katanya di PPS Masjid Putra Heights, hari ini.
Bagi memastikan pelajar dapat meneruskan persekolahan tanpa gangguan, YIDE telah berkolaborasi bersama PPD Petaling Perdana, Jabatan Kebajikan Masyarakat, serta Prasarana Sdn. Bhd. (Prasarana).
Mohd Razali berkata, YIDE selaku anak syarikat Majlis Agama Islam Selangor (Mais) telah menyalurkan bantuan kelengkapan persekolahan bagi membantu ibu bapa terlibat membuat persediaan anak-anak masing-masing.
Prasarana pula menyediakan lima buah van Rapid KL On-Demand bagi kemudahan 76 orang pelajar termasuk 42 di sekolah rendah dan sekolah menengah (34) merangkumi 19 buah sekolah.
Pergerakan penghantaran dan pengambilan pelajar-pelajar dalam lingkungan radius tujuh kilometer dari PPS ke sekolah masing-masing itu secara pecahannya melibatkan seramai 60 pelajar sesi pagi dan 16 pelajar sesi petang. – KOSMO! ONLINE