SEBERANG PERAI – Rakaman video tular di media sosial yang memaparkan kejadian buli di sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) merupakan kes lama yang berlaku pada pertengahan tahun lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Deputi Superintendan Mohd. Norazmi Abd. Ghapar berkata, siasatan awal mendapati kejadian membabitkan tujuh pelajar termasuk mangsa berusia 15 tahun.
Katanya, tiada laporan polis yang dibuat berhubung kejadian itu, namun pihaknya tetap menjalankan siasatan susulan video tular berkenaan.
“Kesemua mereka yang terlibat telah dikenal pasti dan punca kejadian kerana bergurau dan ejek-mengejek sesama sendiri.
“Bagaimanapun, siasatan lanjut akan diteruskan termasuk merakamkan keterangan kesemua individu yang terlibat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.