JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan tindakan pantas anggota bomba tiba di sebuah rumah pada pagi 1 Syawal demi menyelamatkan individu yang terkunci di dalam bilik mandi, lapor laman berita Liputan6.
Dalam kejadian tersebut, keluarga itu dikatakan sudah berusaha sehabis mungkin untuk membuka pintu bilik mandi, namun gagal.
Disebabkan salah seorang ahli keluarga itu terperangkap di dalamnya, mereka terpaksa menghubungi bomba bagi membantu membebaskan mangsa.
Sejurus bomba tiba, mereka berjaya membuka pintu bilik mandi dengan pantas dan menyelamatkan mangsa di dalamnya.
Ia disambut dengan sorakan seluruh ahli keluarga tersebut yang mengucapkan terima kasih dan menjamu juadah raya kepada anggota bomba.
Video itu menjadi tular dan menerima pelbagai komen daripada netizen.
“Bomba sanggup bertugas di pagi raya,” kata seorang netizen.
“Sila jamu makanan yang paling sedap kepada mereka,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI