KUALA LUMPUR – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Rabu lalu mengumumkan pelaksanaan tarif import timbal balik ke atas banyak negara termasuk Malaysia, yang dikenakan kadar 24 peratus.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada sidang akhbar khas berkenaan tarif AS di Menara MITI hari ini membentangkan lima langkah yang sedang dan akan diambil oleh kerajaan dalam menangani impak tarif.
-
Pusat Tindakan Geoekonomi Nasional (NGCC) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sendiri telah diaktifkan. Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedang membuat kajian impak kepada sektor-sektor eksport utama ke AS, dan NGCC akan mempertimbangkan dapatan dari kajian tersebut semasa mesyuarat seterusnya dalam masa terdekat.
-
MITI sendiri akan membangunkan satu pasukan petugas/Task Force bagi mengumpul maklumbalas dari semua pihak berkepentingan. Ini untuk memastikan eksport dan pelaburan Malaysia tidak terkesan teruk akibat tindakan unilateral AS. Esok MITI akan berjumpa dengan wakil badan-badan industri dan persatuan pengeksport. MITI juga akan berlibat urus dengan Kementerian dan agensi-agensi berkaitan seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, Bank Negara Malaysia, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Jabatan Statistik Malaysia dan sebagainya. MITI akan mengambil pendekatan menyeluruh mempertimbangkan pelbagai pilihan yang ada.
-
Di peringkat ASEAN, Menteri-Menteri Ekonomi akan bermesyuarat khas pada 10 April ini yang akan dipengerusikan oleh Tengku Zafrul sendiri. Ia akan membincangkan implikasi tarif AS ke atas aliran perdagangan dan pelaburan serantau; kestabilan makroekonomi; dan respons bersepadu ASEAN. Selepas itu, Pemimpin Pemimpin ASEAN akan bertemu untuk membincangkan hala tuju ASEAN, bagi menangani dan mengurangkan potensi gangguan kepada perdagangan serantau, rangkaian rantaian bekalan, dan aliran pelaburan ke rantau ini.
-
Penglibatan strategik peringkat tinggi dengan AS akan diteruskan. Perjanjian Rangka Kerja Perdagangan & Pelaburan Malaysia-AS (TIFA) akan dimanfaatkan. MITI juga akan mempertimbangkan untuk mengadakan perjanjian perlindungan teknologi, untuk melindungi eksport semikonduktor & aeroangkasa Malaysia. Pengecualian sektor akan dirundingkan. Tengku Zafrul telah bertemu dengan Duta Besar AS pagi tadi dan rundingan seterusnya akan dibuat.
-
Peluasan pasaran eksport Malaysia. Sejak beberapa tahun yang lalu, Matrade sudah mula mempelbagaikan dan meluaskan pasaran eksport Malaysia. Ini termasuk pasaran Asia Barat (juga melalui MIHAS), Afrika dan Amerika Selatan.
Pada masa sama, MITI akan meningkatkan penggunaan kesemua Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA).
Usaha lain berkenaan FTA termasuk:
-
Menandatangani Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif (CEPA) dengan UAE (14 Januari 2025) bertujuan untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan dua hala, dengan unjuran peningkatan 60 peratus dalam volum perdagangan dalam tempoh lima tahun. In merupaka FTA pertama antara Malaysia dan negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
-
Penyambungan semula rundingan FTA bersama Kesatuan Eropah (EU).
-
Rundingan FTA dengan Korea Selatan.
-
Menaik taraf Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) semasa tahun Kepengerusian Malaysia ASEAN, dan pelbagai perjanjian FTA lain di tahap ASEAN, termasuk dengan China dan India.
-
Rundingan Malaysia-European Free Trade Association (EFTA – Iceland, Liechtenstein, Norway dan Switzerland) Economic Partnership Agreement. – KOSMO! ONLINE