fbpx

‘Syukur kami dah boleh balik tengok rumah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zamin bersama isterinya ketika ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian di Putra Heights di sini hari ini.

SUBANG JAYA – ‘Syukur selepas lebih enam hari menumpang di rumah kawan akhirnya kami dapat pulang ke rumah sendiri’.

Demikian luahan Zamin Akhbar Kamarul, 56, dan isterinya, Siti Zainon Zainal antara mangsa tragedi letupan paip gas di Putra Heights Selasa lalu selepas dibenarkan pulang ke kediamannya hari ini.

Menurut Zamin, khabar gembira itu juga sedikit melegakan mereka sekeluarga selepas enam hari menumpang di rumah seorang kenalan di Cyberjaya.

“Legalah sebab sudah boleh balik, enam hari duduk menumpang rumah kawan. Tetapi kami belum lihat macam mana keadaan rumah, bomba kata rumah kami tidak terjejas sangat di bahagian luar.

“Bahagian dalam tak tahulah, kena periksa sendiri macam ‘wiring’ (pendawaian). Dari luar nampak elok. Tapi dalam rumah saya tak pasti, mungkin 80 peratus masih baik.

“Saya harap tiadalah kerosakan teruk di bahagian dalam sebab kami dah diami rumah itu sejak 18 tahun lalu,”kata bapa kepada lima anak ketika ditemui di sini hari ini.

Bercerita tentang hari kejadian, Zamin yang tinggal di Kampung Tengah Puchong berkata, dia sekeluarga berada di kampung di Perak kerana pulang cuti berhari raya.

“Kemudian saya lihat laporan berita mengatakan ada kebakaran berdekatan kawasan rumah kami. Isteri terus menelefon rakan dan bertanyakan tentang rumah kami.

“Kawan isteri beritahu rumah sekeliling rumah kami banyak yang terbakar. Kami terus bergegas pulang ke sini (Puchong) semula, bagaimanapun kami tidak dibenarkan pulang ke rumah.

“Waktu itu kami buntu nak duduk mana sebab tiada rumah lain, nasib baik ada kawan di Cyberjaya menawarkan rumahnya untuk didiami,”katanya yang turut memaklumkan empat buah motosikal termasuk sebuah ‘superbike’ hangus dalam kejadian itu.

Zamin yang mempunyai lima orang anak berkata, ramai jiran mereka masih belum dapat pulang kerana rumah masing-masing mengalami kerosakan serius dan kini masih menetap di pusat pemindahan sementara (PPS).

“Ramai lagi jiran kami yang belum boleh balik rumah. Rumah mereka teruk rosak dan sekarang masih tinggal di PPS,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI