SEGAMAT – Daerah Segamat mula dilanda banjir apabila menerima hujan selama 24 jam tanpa henti sejak semalam.
Menurut Ketua Balai Bomba Penyelamat Bandar Segamat, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Muhd Hazim Abdul Razak, pihak bomba melakukan pemantauan pada pukul 8.59 pagi tadi di beberapa kawasan yang mula dinaiki air.
“Tiga kawasan yang telah mula dinaiki air dan pemantauan banjir dilakukan adalah di Felda Pemanis, Sungai Muar Buloh Kasap serta Sungai Tandong Buloh Kasap.
“Sewaktu rondaan di dapati paras air di kawasan berikut adalah terkawal. Khidmat nasihat juga diberikan kepada penduduk yang berada di kawasan rendah di kampung yang terlibat supaya sentiasa memerhati dan berpindah sekiranya paras air naik,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tinjauan semasa mendapati, cuaca di daerah Segamat masih lagi hujan renyai. – KOSMO! ONLINE