fbpx

‘Saya mula kenal erti raya lepas kahwin dengan suami’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Julia mula mengenal erti lebaran selepas berkahwin dengan suami dua tahun lalu.

BENARLAH bagai dikata, perkahwinan mengajar banyak perkara baharu kepada setiap individu biarpun adakalanya tidak semua membahagiakan.

Itulah yang terjadi kepada pelakon Julia Farhana apabila akhirnya dia dapat merasai nikmat menyambut Hari Raya Aidilfitri selepas berkahwin dengan suaminya iaitu Dr. Che Hafiz sejak dua tahun lalu.

Menurut Julia atau nama lengkapnya Julia Farhana Marin, 31, sebelum berkahwin dia tidak pernah beraya seperti umat Islam yang lain.

“Sepanjang hidup saya tak pernah rasa beraya itu apa. Ibu saya orang Sabah, bapa pula orang Itali. Saya pula membesar di Australia. Jadi saya tak pernah tahu sambutan raya itu macam mana.

“Hari raya saya dahulu cuma makan tengah hari bersama ibu dan adik-beradik. Lepas itu saya akan pergi bercuti.

“Bila sudah berkahwin baru saya dapat merasai macam mana sambutan hari raya Aidilfitri. Dua tahun lepas adalah raya saya yang pertama,” katanya.

Kampung

Setiap kali raya, Julia akan pulang ke kampung halaman suaminya di Kelantan. Di situlah dia mula mengenal erti sebenar nikmat menyambut hari raya bersama sanak-saudara. 

“Selepas solat subuh saya ke dapur lihat suasana sangat meriah. Baru saya faham inilah dia hari raya. Kami saling bantu membantu di dapur. Saya rasa sangat seronok.

“Keluarga suami pula sangat besar. Seminggu tu tak habis nak melawat saudara mara dia. Jika dahulu raya saya sangat relaks, tetapi kini saya sangat sibuk menziarahi sanak- saudara sebelah suami,” kongsinya teruja.

Ditanya tentang persiapan raya, kata pelakon filem Coast Guard Malaysia : Ops Helang itu, dia bertuah kerana ibu mentuanya sudah menyediakan segalanya di kampung.

“Mentua saya sudah sediakan segala keperluan raya di Kelantan. Saya cuma perlu tolong apa-apa yang patut sahaja. 

“Goreng ayam atau potong bawang. Saya terpaksa pakai ‘goggles’ untuk potong bawang kerana kita memasak untuk 30 orang makan. Jadi bayangkan saya kena potong bawang banyak mana,” cerita Julia panjang lebar.

Tambahnya juga, mentua ada menu istimewa yang disediakan di hari raya iaitu nasi ayam yang menggunakan resipi istimewa.

“Sekarang saya sudah mahir masak nasi ayam resepi ibu mentua.

“Dari segi baju raya pula, alhamdulillah tahun ini saya dapat tajaan daripada beberapa pereka fesyen. Saya pun tak suka membazir nak beli banyak baju. Selalunya saya akan kitar semula baju-baju lama. 

“Suami pun seorang yang sangat ringkas. Dia pun suka kitar semula pakai baju-baju yang sudah ada dalam koleksi dia,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Julia baru sahaja tamat penggambaran program Property Hunter dan akan kembali fokus pada pelajarannya kerana bakal menghadapi peperiksaan pada bulan hadapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI