PYONGYANG – Korea Utara menganjurkan Maraton Antarabangsa Pyongyang pertama dalam tempoh enam tahun semalam dengan beratus-ratus peserta turun ke jalan-jalan di ibu negara berkenaan sambil diiringi sorakan rakyat.
Pertandingan yang diadakan bagi meraikan hari lahir pengasas Korea Utara, Kim Il-sung itu turut disertai sebilangan atlet asing.
“Gambar-gambar Maraton Pyongyang hari ini (semalam) di Korea Utara. Acara yang menakjubkan dan perlumbaan tidak seperti yang lain,” kata Pengurus Besar Koryo Tours, Cockerell Simon.
Syarikat pelancongan Koryo Tours menganjurkan penyertaan pelari asing untuk kejohanan tersebut.
Maraton Pyongnya adalah acara sukan antarabangsa terbesar di Korea Utara. Ia disertai kira-kira 180 pelari asing.
Pertandingan itu menawarkan peluang yang jarang berlaku untuk pengunjung berlari di jalan-jalan di ibu kota Korea Utara yang dikawal ketat.
Kali terakhir Korea Utara mengadakan larian maraton adalah pada 2019 dengan penyertaan 950 warga asing. – AFP