fbpx

Penyelia tapak didakwa tipu urusan jual tanah RM2 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH diiringi anggota polis semasa dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka kerana menipu urusan penjualan tanah. - Foto MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI/ KOSMO!

MELAKA – Seorang penyelia tapak didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menipu urusan penjualan sebidang tanah bernilai RM2 juta, dua tahun lalu.

Tertuduh, Law Tuan Hai, 62, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memperdayakan Chong Kah Khen, 54, bahawa dia adalah pemilik berdaftar sebidang tanah bagi urusan pembelian tanah berkenaan sehingga mendorong tiga individu berusia 38, 46 dan 78 tahun membuat bayaran berjumlah RM2 juta ke akaun bank milik tertuduh.

Kesalahan itu dilakukan di Tetuan Ching Kah Khen & Harris di Taman Malim Jaya dalam daerah Melaka Tengah pada Oktober 2023 dan kes dibaca mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim mencadangkan tertuduh diikat jamin sekitar RM100,000 kerana mangsa menanggung kerugian yang tinggi.

Peguam Low Huey Theng yang mewakili tertuduh merayu jaminan rendah dengan alasan anak guamnya bekerja sebagai penyelia tapak dengan pendapatan RM5,000 sebulan selain mengidap sakit buah pinggang kronik.

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM30,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan tidak mendekati mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai, melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan dikehendaki hadir setiap kali sebutan dan perbicaraan kes.

Mahkamah turut menetapkan tarikh 22 Mei untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI