PUTRAJAYA – Kumpulan penjawat awam yang dipimpin oleh Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam perlu mencari jalan bersesuaian bagi memastikan langkah reformasi kerajaan dapat dilaksanakan dengan baik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu tidak boleh dipandang ringan dan remeh berikutan masih wujud elemen kecuaian, ketirisan selain laporan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Menurut beliau, ketua jabatan dan kementerian perlu terus berwaspada bagi memastikan hasrat menyelamatkan negara dan bangsa dapat dicapai.
“Antara isu yang terkait ialah kita seharusnya berbicara soal ini, bagaimaba sebagai negara bina satu kesatuan, fokus dalam semangat Madani dengan kekuatan akidah, akhlak, nilai, (selain) kebijaksanaan fiksal dan ekonomi untuk mengangkat diri kita.
“Tapi, perbincangan ini nampak tidak begitu menarik, walhal faktor itu boleh selamatkan kita, kecerdasan buatan (AI), transformasi digital bagi menentukan kita lebiu cekap, selamat dan maju.
“Hal ini seharusnya kita renungkan, AI untuk rakyat, kita tekankan, sama ada berhasil atau tidak, itu terserah kepada kita semua,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Jabatan Perdana Menteri di sini tadi. – KOSMO! ONLINE