MELAKA – Seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki melarikan gadis berusia 18 tahun berstatus orang kurang upaya (OKU) dari Taman Rambai Idaman, Bukit Rambai, di sini, pada 5 April lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, tangkapan dilakukan pada pukul 4 pagi tadi, di Jalan Jati, Sungai Petani, Kedah.
“Susulan laporan dibuat oleh ibu mangsa berusia 47 tahun, kita telah mengesan suspek dan berjaya menahannya di Kedah.
“Suspek berusia 40 tahun itu disyaki melarikan mangsa menggunakan Perodua Kelisa bewarna Perak ketika gadis itu keluar bermain di taman permainan,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, suspek merupakan seorang peniaga dan menetap di Melaka.
Mengulas lanjut beliau berkata, pada hari kejadian suspek juga telah membawa mangsa ke beberapa lokasi termasuk Seremban, Negeri Sembilan, Ipoh, Perak dan Bukit Mertajam, Pulau Pinang sebelum ke kampung lelaki itu di Baling, Kedah.
“Pemeriksaan fizikal awal terhadap mangsa mendapati tiada sebarang kesan kecederaan luaran. Pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan suspek tidak menemukan sebarang barang salah, namun lelaki terbabit mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya,” katanya.
Christopher berkata, suspek kini direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang dengan salah. – KOSMO! ONLINE