MELAKA – Pemandu kereta Kelisa berwarna perak yang dipercayai melarikan gadis orang kurang upaya (OKU) dari sebuah taman permainan di Taman Rambai Idaman, Bukit Rambai di sini, kelmarin direman empat hari bermula hari ini.
Perintah reman sehingga 10 April itu dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Ayer Keroh, N. Sivashangari terhadap suspek yang berusia 40 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaaan.
Terdahulu suspek yang memakai jaket hitam dan berkain pelekat tiba di pekarangan mahkamah sekitar pukul 3.30 petang tadi dengan diiringi pegawai polis.
Kosmo! hari ini melaporkan seorang lelaki diberkas selepas disyaki melarikan seorang gadis OKU Pembelajaran, Nurin Wardina Hairi, 18, dengan menaiki sebuah Perodua Kelisa perak.
Susulan laporan polis dibuat ibu mangsa, suspek yang berasal dari Melaka berjaya dikesan dan diberkas pada pukul 4 pagi tadi di Jalan Jati, Sungai Petani, Kedah.
Hasil soal siasat, suspek dipercayai turut membawa mangsa ke beberapa lokasi lain termasuk Seremban, Negeri Sembilan; Ipoh, Perak dan Bukit Mertajam, Pulang Pinang sebelum ke kampungnya di Kedah.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pemeriksaan fizikal awal terhadap mangsa mendapati tiada sebarang kesan kecederaan luaran.
“Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan suspek tidak menemukan sebarang barang salah, namun lelaki terbabit mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya,” katanya. – KOSMO! ONLINE