fbpx

Pelajar MRSM terlibat buli digantung persekolahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar Asyraf Wajdi mengulas insiden buli di sebuah MRSM di utara tanah air baru-baru ini.

PETALING JAYA – Pelajar yang terlibat dalam insiden buli di sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di utara tanah air digantung persekolahan sehingga siasatan terperinci lengkap.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan penggantungan itu supaya tidak menganggu siasatan dan memberi mesej jelas perbuatan buli tidak boleh dikompromi.

“Saya telah mengarahkan pengurusan dan bahagian pendidikan menengah melakukan siasatan segera. Saya baru sahaja menerima laporan memang benar peristiwa itu berlaku di salah sebuah MRSM di utara tanah air.

“Saya mengarahkan satu siasatan terperinci dan dalam proses siasatan, pelajar terbabit mestilah digantung terlebih dahulu. Kalau didapati benar bersalah, Mara dan MRSM tidak akan berkompromi. Tindakan tegas akan diambil,” katanya menerusi satu rakaman video hari ini.

Terdahulu, Kosmo! Online hari ini melaporkan Asyraf Wajdi mengarahkan pegawainya melakukan siasatan segera terhadap video tular dipercayai membabitkan pelajar di sebuah MRSM di Pulau Pinang.

Rakaman video berdurasi 1.31 minit tersebut memaparkan sekumpulan pelajar lelaki menghempap kepala dan badan seorang pelajar lain dalam keadaan tertiarap di atas katil, selain mangsa disebat dengan tali pinggang pada bahagian punggung.

“Saya ingin meningkatkan kepada pelajar di MRSM mahupun di semua institusi pendidikan Mara, saya telah tegaskan prinsip “You touch, you go”. Kita tidak boleh benarkan apa sahaja bentuk atau budaya buli sama ada fizikal atau mental di insitusi pendidikan Mara.

“Mara medan untuk melahirkan pemimpin, mana mungkin kita nak melahirkan pemimpin yang dangkal akar budinya dan tercemar adan dan perilaku akhlaknya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI